Total Pageviews

Monday, November 14, 2016

Aziz #5 Aku takkan terhina?

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..


     Pagi yang hening,sunyi ditemani udara segar yang mendamaikan. Matahari baru di awal permukaan bumi memancarkan sinar harapan dan kehidupan. Aziz sedang berehat sambil termangu keseorangan di bangku sekolah hadapan asrama. Bertemankan angin damai pagi dan kicauan burung yang keluar mencari rezeki. Tenang yang mendamaikan. Aziz terkenangkan sudah hampir tiga tahun berada di luar kampung berseorangan, tidak diziarahi malah tidak juga pulang ke rumah.

     Tiada faktor lain melainkan ketiadaan duit untuk pulang ke rumah yang dipisahkan dua negeri. Setiap kali cuti persekolahan , Aziz mengambil peluang untuk bekerja di sekitar ibu kota. Hidup menumpang di rumah kawan kawan sambil berniaga kecil kecilan dan mengambil upah kerja sampingan.

      Berkelana bukan susah , bukan juga mudah. Penat dan kegalauan ditanggung sendiri. Jika ingin mengadu , perlu menulis surat , hanya tiga minggu paling cepat akan mendapat balasan. Rakan rakan juga nasib lebih kurang dirinya. Jadi berdiam diri sambil memasak keyakinan yang mampu dilakukan.

      Tahun ini merupakan tahun yang besar buat Aziz. Dirinya akan menghadapi Sijil Penilaian Rendah. Berbaki 3 bulan lagi, Aziz sedar dirinya tidak sepenuhnya bersedia. Aziz perlu sekurang kurangnya lulus peperiksaan ini, untuk terus kekal mendapat tempat di asrama. Dirinya tiada pilihan lain melainkan berusaha untuk mendapat tempat di asrama pada tahun berikutnya. Ini kerana jika dirinya tidak mendapat tempat, tiada kata dua melainkan beliau perlu kembali ke rumah ataupun berhenti sekolah tanpa pengetahuan dan mencari kerja di ibu kota.

      Jika diikutkan peperiksaan pada pertengahan tahun yang lalu, keputusannya amat merisaukan. Sesak dada dan serabut otak Aziz memikirkan kehidupannya selepas ini. Aziz bingung memikirkan sama ada perlu berusaha mendapat tempat dan kekal, ataupun mula merancang kembali ke rumah ataupun mencari tempat bekerja di ibu kota.

       Memandangkan matahari semakin naik, Aziz perlu bersegera  kerana sekolah mengadakan kelas tambahan pada hujung minggu bagi pelajar tingkatan tiga. Dalam perjalanan menuju ke biliknya, Aziz terlihat seekor gagak sedang mematuk roti yang ditinggalkan terbuka di atas meja. Bergegas kelihatan seorang pelajar lelaki berlari menghalau gagak tersebut.  Terbanglah gagak tadi meninggalkan tempat yang disangka akan menjadi rezeki paginya.

       Aziz tersentak seketika. Peristiwa sebentar yang berlaku pantas tadi membuatkan Aziz berfikir sejenak. Lintasan ilham dan kesedaran terdetik. Aziz bermonolog '' jika aku hanya sekadar hidup untuk mencari makanan, aku akan jadi terhina seperti gagak tadi, dihalau ketika mencari rezeki, aku pula orang luar, kalau aku mendapat keputusan elok,aku boleh kekal dan teruskan pelajaran aku disini, aku akan dipandang tinggi dan dihormati '' kecil hatinya bersuara.
   
       Aziz menbuat pilihan dan menekadkan jawapan yang diperolehi sebentar tadi. Hidup biar terhormat. Semangat baru membakar. Aziz perlahan berbisik '' aku mesti mendapat tempat untuk tahun depan ''.

                                                                  ******

Taiping , Perak.
 
      ''  Uji , kamu ke sana nanti belajar rajin rajin, jangan pikir sangat pasal mak nan abah kamu kat sini, dari kecik kamu dah bantu mak ni, belajar rajin rajin, besar dapat kerja elok nanti. '' kata Mak Lah kepada anak perempuannya.

     '' Orang tahu la mak , orang belajar rajin rajin kat sana '' balas uji sambil menyalam kedua ibu bapanya.

     Bermula kisah seorang pejuang kecil memperjuangkan nasib keluarga.
                                                               
# doakan projek Uji dan Aziz