Total Pageviews

Wednesday, January 11, 2017

UJI #1 Setiap yang berlaku pasti ada hikmah.

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..

Nama aku Uji.

Doktor memang merupakan cita cita aku daripada kecil. Semuanya bermula apabila aku melihat seorang doktor perempuan yang datang ke sekolah aku ketika aku berada di sekolah rendah bagi melakukan pemeriksaan kesihatan. Sudah menjadi adat tahunan bagi setiap sekolah kerajaan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap para pelajar.

Pada mulanya , aku yang baru berumur 6 tahun dan berada di darjah 1 kerana lompat tahun, (ouh lupa bagitahu aku seorang yang bijak ^-^ ), takut untuk beratur dan menjalani pemeriksaan kesihatan. Jauh sekali aku takut akan jarum atau ubat, akan tetapi aku takut jika pemeriksaan ini berbayar. Hasil jualan kacang kuda pagi tadi harus disimpan untuk kegunaan akan datang.

Aku memikirkan helah untuk mengelak daripada beratur bersama rakan sekelas. Tandas! bernas. Aku meminta izin dan bergegas ke tandas. Nasib buruk , tandas pelajar tidak boleh dimasuki kerana sedang dalam proses pembaikian. Tiada pilihan, aku masuk ke tandas sebelah, sebelum masuk aku meminta maaf sendirian, mungkin pada pintu tandas kerana melanggar peraturan, aku menutup pintu, terpampang di hadapan pintu 'TANDAS GURU PELAJAR DILARANG MASUK'.

30 minit berlalu, aku tak boleh menyorok lama, mungkin sudah tamat anggapanku. Perlahan aku menghampiri pintu tandas utama, pintu dibuka dari luar. ' Alamak , mati aku ' hatiku berdegup laju. Kelihatan seorang wanita, daripada pakaiannya bukan seorang guru akan tetapi berkot putih. Seorang doktor.

                                                                           *****

Doktor.

" Apa kamu buat disini? Inikan tandas guru " . Terkebil dihadapanku seorang pelajar perempuan ketakutan. Tanda namanya tertulis UJI.  Pelajar tadi tidak menjawab sebaliknya tunduk diam dan cuba untuk berlari keluar. Aku terlampau keras agaknya. Aku melutut bagi meraikan ketinggiannya yang hanya takat paras pinggang aku. " Nama saya Anis Afifah ,awak boleh panggil Doktor Afifah, nama adik siapa?" sambil aku memegang bahunya. " Saya tak nampak pun kamu tadi semasa pemeriksaan kesihatan, sudah jalani pemeriksaan ke belum?".

Pelajar tadi membalas " Doktor , nama saya Uji, darjah 1, saya tak pergi pun pemeriksaan tadi sebab saya tiada duit nak bayar doktor,mak saya pun tak pergi klinik katanya tiada duit, duit yang ada saya nak simpan , doktor jangan marah saya, jangan beritahu cikgu saya ye". Aku terdiam antara kasihan dan terhibur. Aku mengajak pelajar tersebut ke dewan ," Uji, pemeriksaan hari ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan , percuma tiada bayaran". Aku tersenyum sambil mengusap lembut rambut lurus pelajar perempuan tersebut.

                                                                          *****

Uji.

Kini aku sudah pun berada dalam landasan menuju cita citaku. Peristiwa 12 tahun lalu membina keazamanku untuk menjadi seorang doktor selain minat aku yang mendalam terhadap bidang perubatan. Subjek biologi ketika sekolah menengah menjadi subjek kegemaranku.

Sekarang aku berada  dalam bulan terakhir  kursus persediaan selama setahun sebelum aku melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland.

Aku mendapat surat daripada pihak penaja meminta para penerima biasiswa untuk hadir bagi suatu taklimat khas  mengenai pembaharuan kontrak.

Aku syak mengenai perubahan kos dan tempat, kerana ekonomi Malaysia sedang gawat pada tahun 1986, tahun hadapannya aku akan berangkat ke Ireland bagi meneruskan pelajaran.

                                                                         *****

Kaki aku berat melangkah keluar daripada dewan taklimat. Awan mendung pagi itu seakan memberi reaksi terhadap pilunya situasi yang aku alami.

Aku diberi dua pilihan , kos Bahasa Inggeris di Manchester ataupun kos Kejuruteraan di Amerika. Jangka waktu selama seminggu diberikan sebelum memberi keputusan kepada pihak penaja.

Aku menangis semahunya di tempat telefon awam ketika memberitahu perkara ini kepada emakku di rumah. Tidak mampu aku bercakap dengan ayahku yang mengalami kelumpuhan pada sebelah kakinya akibat serangan angin ahmar 5 tahun yang lalu.

Aku mengemas pakaian dan sedikit barang keperluanku. Bas akan bertolak lagi dua jam dari stesen Ipoh , aku perlu cepat ke perhentian bas.

Seminggu yang diberikan untuk membuat keputusan akan aku manfaatkan di rumah. Perbincangan bersama ahli keluarga mungkin akan memberikan jawapan.

Aku bermonolog mengubat duka "setiap yang berlaku mesti ada hikmah".

Perlahan aku menutup pintu bilikku. Ligat otakku memikir jalan terbaik untuk masa depanku.