Total Pageviews

Tuesday, July 25, 2017

RAYA AKU DI MALAYSIA. #EDISI MUHASABAH

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM...

SEBELUM RAYA.

Alhamdulillah , tahun ini aku diberikan rezeki untuk menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia. Ramai kawan satu batch aku yang memilih untuk menyambut bulan puasa dan hari raya di Jordan. Banyak faktor yang mempengaruhi keputusan mereka. Aku pula sudah tentu faktor utama aku adalah disebabkan umi.

Pertama sekali, aku memang balik secara mengejut. Hari untuk balik tu aku masih lagi berhutang beberapa kerja dengan persatuan. Baik dari sudut tenaga mahupun pengurusan teknikal. Jadi aku siapkan segala dokumen penting,passport,tiket dan barang beberapa hari awal.

Di sini , tenaga dan otak aku diuji, untuk pastikan segala perkara berjalan lancar. Pengajaran yang sebelum ini hanya mainan kata kata menjadi nilai tambah yang bermakna buat aku iaitu, kalau kita terdesak atau betul betul memerlukan penyelesaian, insyaallah segala kudrat fikiran dan tenaga kita akan bekerja pada tahap maksimum, tinggal kita sahaja samada nak bertindak atau bermalasan dengan alasan.

                                                                         ********

MALAM RAYA.

Malam raya aku pergi bertakbir di beberapa rumah di kawasan kejiranan aku. Aktiviti yang aku yakin masih lagi dijalankan oleh kariah kariah di sekitar Malaysia. Aktiviti yang menjadikan raya di Malaysia berbeza berbanding beberapa negara lain.

Aku perasaan satu perubahan baru di kawasan kejiranan aku, iaitu ianya telah berubah menjadi 'kampung bandar' . Aku lihat banyak keluarga yang telahpun menjadi 'kampung'. Anak anak yang bekerja ataupun tinggal berjauhan pulang ke rumah mereka untuk menyambut raya bersama. Rumah mereka pula yang menjadi pusat berkumpul keluarga besar. Pakcik pakcik kelihatan mendukung cucu cucu ketika di rumah mereka. Kelihatan jelas masyarakat dimamah usia.

Aku perasan yang masa memang berjalan laju, meninggalkan manusia yang tidak menikmati waktu sekarang,yang tidak merancang masa depan dan yang tidak mengambil pengajaran daripada masa lalu.


PAGI RAYA.

Pertama sekali, of course perasaan pagi raya tu jauh berbeza bila di Jordan dan Malaysia. Apa yang paling menyentuh hati aku, dalam perjalanan menuju ke masjid untuk Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri, aku terlihat seorang lelaki dewasa, aku yakin dia warga Indonesia, menelefon mungkin isteri dan anaknya di sana. Sambil sebelah tangan memegang gambar.

Sedih dan gembira dalam masa yang sama. Biasalah orang Melayu, hari raya sinonim dengan kesedihan lagi lagi  melibatkan hal kekeluargaan. Aku rasa ini juga antara salah satu kelebihan dan kemeriahan orang Melayu bilamana menyambut hari raya. Paling tidak, hubungan kekeluargaan tu masih lagi diambil berat oleh orang Melayu.

Pagi raya di Pandamaran, tengahari terus bertolak ke Pahang.

Cerita raya, kita simpan dalam kenangan. Biar tak tertulis tapi kemas dalam simpanan.

Antara dua nikmat besar hari raya yang aku rasa ialah keluarga dan masa yang berkualiti.



# walaupun selepas sebulan baru dapat semangat nak habiskan tulisan yang tertangguh ini.

IKLAN
# Nasihat untuk semua, aku naqal daripada Jep, " jangan tunjuk kelemahan kita kat orang " " rambut sama hitam, hati lain lain".Hehehehehe.

MAAF SALAH SILAP , SEMUA!!!!!

Tuesday, March 21, 2017

UJI #2: Ini yang terbaik untuk kamu.

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM


     '' Uji , takpe ke kamu pergi negara orang putih tu, mak risau la, kawan mak kata kat sana tu kristian kuat, kalau pergi takut kamu terikut orang sana tu '' kata Mak Lah sambil mennyiapkan persediaan untuk berniaga esok hari. Uji hanya melihat sambil tangannya ligat menguli tepung untuk dibuat kuih karipap.

       Sudah menjadi kebiasaan Uji membantu ibunya berniaga semenjak dari kecil lagi. Ayahnya yang terpaksa berhenti kerja sebagai buruh akibat angin ahmar yang dialami ketika Uji masih belasan tahun. Jadi, disamping bergantung daripada hasil wang pencen, ibunya bekerja keras dengan tulang empat kerat bagi membantu suaminya menyara keluarga.

Uji             : Mak jangan risaukan uji, Insyaallah orang elok je kat sana, lagipun bukannya duduk sorang sorang, ada juga Melayu lain kat situ.

Mak Lah    : Takdela mak ni risau kat kamu je. Pergi jauh. Sebelum tu, apa kamu dah tahu nak tukar kos apa?

Uji              : Orang ingat nak ambil Bahasa Inggeris dekat UK sana. Orang memang tak minat bidang Kejuruteraan.

Mak Lah     : Takpe la , mana mana pun mak ni doakan je anak mak ni berjaya dan dapat yang terbaik. Yang tak dapat tu kamu lupakan jela, memang bukan rezeki kamu.


     Uji perasan akan raut wajah maknya yang risau dan sedih dengan bakal pemergian anaknya itu ke negara orang. Akan tetapi, passport pun dah hampir siap, urusan kontrak rasmi yang lain pun telah diselesaikan oleh Uji sendirian. Tinggal beberapa minggu sahaja lagi kumpulan mereka akan bertolak.

   
Seminggu Kemudian......

     " Kak Ji, ada posmen hantar surat, nama kamu tulisnya ni " laung adik bongsu lelakinya dari depan rumah. Uji yang baru selesai menyiapkan makanan tengahari, mengambil surat daripada adiknya. Surat beralih tangan. Mata Uji tertumpu pada sampul surat tersebut.

    '' Uji , kenapa kamu termenung jauh je mak tengok? Ada apa apa ke? "tanya Mak Lah kerisauan. Petang itu suram tanpa pelanggan. Awan mendung. Angin sepoi sepoi membayu. Beberapa motosikal dan kereta singgah dan pergi.

    " Erm, betul mak, setiap yang berlaku, orang yakin ada hikmahnya, orang tak dapat pergi luar negara, kena tukar ke UPM,serdang tapi kos dan biasiswa alhamdulillah masih kekal " hujung kain tudung menjadi mangsa sapuan air mata yang tak tertahan.

    " Mak bukan nak buat kamu sedih lagi, tapi mak doakan supaya kamu ditempatkan di tempat yang terbaik untuk kamu, mak yakin ini yang terbaik untuk kamu ".


                                                                      ***********

Aziz

     Aziz sudahpun  menghabiskan tahun pertama dalam diploma Kejuruteraan Komputer di Universiti Pertanian Malaysia yang kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia.

    Tahun ini juga Aziz bercadang untuk tidak pulang ke rumahnya di Temerloh,Pahang. Aziz berhasrat untuk berniaga dan bekerja di sekitar rumah sewa kawannya untuk menghabiskan cuti sem yang mendatang.

    Duit diperlukan untuk membayar yuran sem yang akan datang. Jadinya, rindu dan hasrat hati mesti ditahan kerana perkara yang lebih penting perlu diutamakan.




# Setiap manusia mempunyai cerita yang tersendiri, terserah pada kita untuk menghargainya. Jangan mudah terpengaruh dan berasa rendah diri dengan cerita orang. Abaikan dan teruskan kehidupan. Setiap kemanisan berbeza rasanya.



   


Wednesday, January 11, 2017

UJI #1 Setiap yang berlaku pasti ada hikmah.

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..

Nama aku Uji.

Doktor memang merupakan cita cita aku daripada kecil. Semuanya bermula apabila aku melihat seorang doktor perempuan yang datang ke sekolah aku ketika aku berada di sekolah rendah bagi melakukan pemeriksaan kesihatan. Sudah menjadi adat tahunan bagi setiap sekolah kerajaan mengadakan pemeriksaan kesihatan terhadap para pelajar.

Pada mulanya , aku yang baru berumur 6 tahun dan berada di darjah 1 kerana lompat tahun, (ouh lupa bagitahu aku seorang yang bijak ^-^ ), takut untuk beratur dan menjalani pemeriksaan kesihatan. Jauh sekali aku takut akan jarum atau ubat, akan tetapi aku takut jika pemeriksaan ini berbayar. Hasil jualan kacang kuda pagi tadi harus disimpan untuk kegunaan akan datang.

Aku memikirkan helah untuk mengelak daripada beratur bersama rakan sekelas. Tandas! bernas. Aku meminta izin dan bergegas ke tandas. Nasib buruk , tandas pelajar tidak boleh dimasuki kerana sedang dalam proses pembaikian. Tiada pilihan, aku masuk ke tandas sebelah, sebelum masuk aku meminta maaf sendirian, mungkin pada pintu tandas kerana melanggar peraturan, aku menutup pintu, terpampang di hadapan pintu 'TANDAS GURU PELAJAR DILARANG MASUK'.

30 minit berlalu, aku tak boleh menyorok lama, mungkin sudah tamat anggapanku. Perlahan aku menghampiri pintu tandas utama, pintu dibuka dari luar. ' Alamak , mati aku ' hatiku berdegup laju. Kelihatan seorang wanita, daripada pakaiannya bukan seorang guru akan tetapi berkot putih. Seorang doktor.

                                                                           *****

Doktor.

" Apa kamu buat disini? Inikan tandas guru " . Terkebil dihadapanku seorang pelajar perempuan ketakutan. Tanda namanya tertulis UJI.  Pelajar tadi tidak menjawab sebaliknya tunduk diam dan cuba untuk berlari keluar. Aku terlampau keras agaknya. Aku melutut bagi meraikan ketinggiannya yang hanya takat paras pinggang aku. " Nama saya Anis Afifah ,awak boleh panggil Doktor Afifah, nama adik siapa?" sambil aku memegang bahunya. " Saya tak nampak pun kamu tadi semasa pemeriksaan kesihatan, sudah jalani pemeriksaan ke belum?".

Pelajar tadi membalas " Doktor , nama saya Uji, darjah 1, saya tak pergi pun pemeriksaan tadi sebab saya tiada duit nak bayar doktor,mak saya pun tak pergi klinik katanya tiada duit, duit yang ada saya nak simpan , doktor jangan marah saya, jangan beritahu cikgu saya ye". Aku terdiam antara kasihan dan terhibur. Aku mengajak pelajar tersebut ke dewan ," Uji, pemeriksaan hari ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan , percuma tiada bayaran". Aku tersenyum sambil mengusap lembut rambut lurus pelajar perempuan tersebut.

                                                                          *****

Uji.

Kini aku sudah pun berada dalam landasan menuju cita citaku. Peristiwa 12 tahun lalu membina keazamanku untuk menjadi seorang doktor selain minat aku yang mendalam terhadap bidang perubatan. Subjek biologi ketika sekolah menengah menjadi subjek kegemaranku.

Sekarang aku berada  dalam bulan terakhir  kursus persediaan selama setahun sebelum aku melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Ireland.

Aku mendapat surat daripada pihak penaja meminta para penerima biasiswa untuk hadir bagi suatu taklimat khas  mengenai pembaharuan kontrak.

Aku syak mengenai perubahan kos dan tempat, kerana ekonomi Malaysia sedang gawat pada tahun 1986, tahun hadapannya aku akan berangkat ke Ireland bagi meneruskan pelajaran.

                                                                         *****

Kaki aku berat melangkah keluar daripada dewan taklimat. Awan mendung pagi itu seakan memberi reaksi terhadap pilunya situasi yang aku alami.

Aku diberi dua pilihan , kos Bahasa Inggeris di Manchester ataupun kos Kejuruteraan di Amerika. Jangka waktu selama seminggu diberikan sebelum memberi keputusan kepada pihak penaja.

Aku menangis semahunya di tempat telefon awam ketika memberitahu perkara ini kepada emakku di rumah. Tidak mampu aku bercakap dengan ayahku yang mengalami kelumpuhan pada sebelah kakinya akibat serangan angin ahmar 5 tahun yang lalu.

Aku mengemas pakaian dan sedikit barang keperluanku. Bas akan bertolak lagi dua jam dari stesen Ipoh , aku perlu cepat ke perhentian bas.

Seminggu yang diberikan untuk membuat keputusan akan aku manfaatkan di rumah. Perbincangan bersama ahli keluarga mungkin akan memberikan jawapan.

Aku bermonolog mengubat duka "setiap yang berlaku mesti ada hikmah".

Perlahan aku menutup pintu bilikku. Ligat otakku memikir jalan terbaik untuk masa depanku.