Total Pageviews

Sunday, March 27, 2016

Aziz #3 Jangan Dilawan

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..

         Beberapa kali kepala aziz ditunjal. Tubuh kecil itu juga diperlakukan seperti punching bag, disepak,ditumbuk dan dipijak sesuka hati. Hujah mereka hanya sebab kami juga dahulu diperlakukan sedemikian rupa, nanti korang masuk tahun senior korang bantai pula junior junior. Alasan bodoh bagi memuaskan nafsu anjing mereka. Jika setiap generasi berfikiran sebegitu , maka sampahlah insitusi persekolahan. Aziz hanya membatukan diri dan memejamkan mata bagi menahan sakit. Setelah puas Aziz diperlakukan tidak kurang seperti tahanan penjara, Aziz kembali ke katil dalam keadaan badan sengal sengal lantas terus berbaring kepenatan.  Sedang asyik Aziz melayan perasaan, tiba tiba terjulur tangan dari katil atas sambil mengenggam botol minyak gamat. Kelihatan sepasang kaki menjulur . “Bukk” bunyi kaki bertemu lantai, tersengih Mizan sambil menghulurkan minyak gamat kepada Aziz. “Aziz,kau  ambil ubat ni,sapu badan kau, aku tengok tadi berani juga kau tolak permintaan Abang Man , Tak pasal pasal malam tadi ko kena ‘tarik’ dengan budak atas” kata Mizan kekaguman. “Aku pun kalau ikut hati nak je lawan balik,ingat aku datang sini ‘kosong’,nak je aku kunci tangan samseng samseng sekolah tu,sebab aku ingat pesan abah aku je jangan guna ilmu silat ni dekat sekolah, kalau tak memang aku ligan dorang”. Mizan hanya memandang simpati dan kagum dengan kawan yang baru dikenaliny itu seminggu. “ Kau ajar aku nanti ye ilmu silat kau tu Aziz”. Hanya senyuman yang dibalas.

          Mizan , budak sebaya yang berasal dari Felda Jengka 19 tidak jauh dari felda aziz. Satu satunya kawan yang sudi berkawan dengan Aziz yang lebih gemar mendiamkan diri dan tidak bergaul bersama manusia. Malam itu, selepas menyapu ubat pada badan Aziz, mereka berkongsi cerita peribadi masing masing. “ Wei Aziz, kau kan dapat masuk kelas 1 Kejora, kau ada kenal tak budak perempuan nama dia Munirah?” tanya Mizan bersungguh. “ Seingat aku jan, macam ada, tapi aku tak pasti la yang mana,pernah dengar nama camtu jela” balas Aziz. “ Kalau kau nak tahu , budak perempuan tu dari felda aku, lama dah aku berkenan, tapi bapak dia garang , pernah aku dikejarnya dengan galah rambutan, mahu aku tak takut dengan bapak dia”bersungguh Mizan bercerita sambil tangannya tak henti menunjukkan gaya. “Garang gila bapak dia, tapi seingat aku ,bukan kau ke yang kantoi curi  durian ladang dia, memang la marah orang tua tu, kalau kau minta sopan sopan elok elok, bukan durian je kau dapat mungkin Munirah sekali bapak dia tawarkan, tula budi tu kena jaga, akhlak tu kena kemas, baru orang suka”. Falsafah cinta ketika umur baru berjinak jinak masuk belasan tahun hanyalah terhad dan jumud pada ‘aku suka la tengok budak ni’ atau ‘suka apabila diri dikaitkan dengannya’ dan pelbagai lagi perasaan aneh yang bertandang atau semangat menjadi paling baik apabila orang yang disukai kelihatan. Terhad dan terbatas, tidak matang dalam mengenali cinta Agung yang sebenar.

          Begitulah tahap kami yang baru permulaan umur kematangan. Tidak membincangkan hal hal berat ataupun common sense seperti masalah ekonomi ataupun kalau aku buat sebegini apa yang akan terjadi?. Hanya berseronok dan cuba menjadi paling cool dalam kalangan teman teman. Kerana yang paling cool dianggap menarik, maka siapa yang mahu ketinggalan peredaran ini. Seluar boot cut menjadi trend, maka berbondong kami memakainya, seluar fit atau cikang mengambil alih trend semasa, maka terjunlah kami kami kedalamnya. Lebih selesa mengikut arus ataupun tidak mahu rasa ditinggalkan. Tidak mahu menjadi berbeza dengan rakan sebaya. Beginilah tahap pemikiran remaja yang dirasakan oleh sesiapa pun yang memerhati. “Jan , aku ngantuk la, esok aku ingat nak outing,nak pergi tengok bandar Kuala Lumpur, kau nak ikut kan?” sambil menutup mulut. “ Nak la, aku dah mintak tolong Abang Paan teman kita esok”. Sambil menarik selimut, Aziz memikirkan keluarga di rumah, sudah seminggu tidak menerima khabar,memang berat bagi anak ini. Jatuh airmata tak tertahan. Moga rindu ini sampai kepada mereka doanya.




Monday, March 21, 2016

Manusia dan Jawatan.

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..

Setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab sama ada terpikul atasnya jawatan ataupun tidak. Terdapat lebih 7 billion manusia ,tidak semuanya berkongsi karakter yang sama. Berkenaan jawatan, ada yang sanggup berjuang bagi memenuhi jawatan yang diinginkan, ada yang tidak sanggup menanggung beratnya taklifan, ada yang hanya memenuhi untuk kepentingan diri, ada yang menolak kerana tidak mahu memenatkan diri dan ada yang menerima secara terpaksa. Apa apa pun niat seseorang itu menerima , hanya Allah dan dirinya sahaja yang tahu apa yang disembunyikan dalam hatinya.

                                                                     ****

Nama. Atas benda ini manusia sanggup bergadai prinsip dan maruah. Atas benda ini juga manusia menjadi mulia dan terjaga. Apabila seseorang itu telah membawa nama sesuatu, pergerakannya juga terbatas dan lebih dijaga. Ini yang menjadi ujian buat manusia yang memegang nama. Adakah lakonannya itu atas dasar nama semata ataupun memang wajahnya yang sebenar. Bagi yang kononnya tidak membawa nama apa apa pula bebas melakukan apa sahaja yang disukai. Adakah ini menunjukkan bahawa manusia itu kadang kala berasa takut untuk diberi taklifan dan berselindung di sebalik kebebasan? Adakah mereka berasa jelik dengan tanggungjawab dan mencipta kebebasan sendiri bagi menutup kekosongan mereka? Entahlah itu jawapan kita dengan hati kita. Takdir Tuhan buat masa ini hanya menjadi hujah alasan bagi manusia, bukan lagi sebagai peneman dan pedoman kita.

                                                                      ****

Masih ingat lagi peristiwa yang berlaku ketika berada di tingkatan lima. Apabila terdapat sekumpulan pelajar yang tengah menolong guru mengangkat kerusi ke tingkat atas, terdapat seorang pelajar yang berkata " wei, jom tolong nanti dapat nama " dan ada yang membalas sinis " kalau nak nama tak payah angkat berat berat camni , dari selepas lahir mak bapak ko dah bagi nama , tak cukup ke? ". Walaupun kedengaran janggal tapi melihat kepada mentaliti manusia yang meletakkan nama sebagai tujuan amatlah sedih. Terdapat sebahagian manusia juga hanya akan bergaul atau melayan mereka yang akan menaikkan nama mereka ataupun memberi nilai tambah kepada personaliti mereka. Tidaklah kita perlu hairan ,kerana memang manusia sifatnya begitu, kita hanya dicantikkan akhlak dan dimuliakan dengan ilmu dan kesedaran.

                                                                     ****

Kembali kepada jawatan. Ralitnya, terdapat tiga jenis penerimaan terhadap sesiapa pun yang berjawatan. Yang pertama, dia akan dipuji dan diucap tahniah atas jawatan yang diterima. Dia akan dianggap hebat kerana memegang jawatan. Dia akan dianggap sebagai orang yang memiliki kelebihan yang pelbagai. Benda ini adalah racun bagi setiap sesiapa yang berjawatan jikalau jiwanya tidak kuat dek hamburan pujian kelak hatinya akan tenggelam dan hanyut. Keduanya , golongan yang memegang taklifan akan diherdik malah mungkin dipulau atas sebab jawatan yang dipikul. Mungkin disebabkan berbeza, dia dipandang hina sebegitu rupa .Diperlekehkan kerana merasakan diri yang berjawatan tidak layak dan patut diganti orang lain atau mungkin yang memaki itu sendiri mengimpikan. Herdikan ,Makian dan Tekanan yang diterima perlu disambut oleh jiwa yang besar dan hati yang terbuka. Benda sebegini juga akan melemahkan dan meruntuhkan diri jika jiwa tidak kuat. Golongan yang ketiga, adalah orang yang masih menganggap kita sama dan cuba membantu kita dalam sedar ataupun senyap, yang menyokong kita bersendiri mahupun beramai. Golongan ini jangan kita lupakan kerana mereka itulah nyawa dan cinta.

                                                                   ****

Bagi aku sendiri , tiada apa yang perlu dibanggakan ataupun dirisaukan jika kita memiliki jawatan. Aku sendiri rasa jawatan tiada apa melainkan kerja dan tanggungjawab. Semua orang memiliki tanggungjawab yang berbeza, jadi jawatan hanyalah nama yang berbeza. Hanya yang tidak melihatnya sahaja akan merasakan perbezaan yang ketara. Padahal perbezaannya hanya nama pada tanggungjawab tersebut. Lainlah bagi mereka yang lupa dan endahkan tanggungjawab mereka dan lari bersembunyi daripada tanggungjawab tersebut lalu ,mencipta kebebasan yang menipu.

                                                                    ****

Bagi sesiapa pun yang sedar akan dirinya telah dipertanggungjawabkan dengan sesuatu, kita boleh sedar bahawa kita mampu berhadapan cabaran cuma kita yang mencipta alasan.


*tulisan ini ditulis bagi menghidupkan semangat exam..hehe
*markah yang tidak pernah tidak mengecewakan..hehehe



Thursday, March 10, 2016

Aziz #2 Kehidupan Baru

2~ Kehidupan Baru
     
      Angin perjuangan kehidupan baru berdesup terasa di batang tubuh keding si kechik sejurus  kaki kanan melepasi pintu pagar utama Sekolah Menengah Kebangsaan Cocrane. Selesai pendaftaran sekolah , Pak Osman membawa bagasi penuh Aziz bagi diletakkan di asrama khas bagi anak-anak felda. Sambil berjalan longlai , Aziz menarik tangan Pak Osman sambil mata hampir tumpahkan kristal kesedihan , “ Pak Osman ,kenapa abah nan mak tak ikut ke sini sekali? . Berhenti Pak Osman tanpa jawapan. Mengeluh lama sebelum berkalih ,mata Pak Osman tepat memandang sedih anak kecil ini, Aziz perasan manik jernih tumpah dari hujung mata orang tua yang dikenali rapat dari kecil. Monolog sendiri “ mungkin aku susahkan pakcik kot,hurmm”.

     Selesai mengemas barang barang yang patut, Pak Osman mengajak ke kantin untuk menjamah sedikit makanan. Aziz berlagak kuat menolak pelawaan baik Pak Osman tetapi paluan kompang dan gendang dari dalam perut kosong Aziz tak dapat disembunyikan. “Kau tak perlu la malu malu dengan pakcik ,jom kita pergi makan kejap”, mengalah aziz kelaparan.

        Sepanjang perjalanan menuju ke kantin hanya bertemankan sepi tanpa suara. Pak Osman biarkan Aziz bermain perasaan. Poket bajunya berisi sepucuk surat amanah kepada anak kecil ini. “ Pakcik harap kau tidak menyimpan dendam nak”. Pinggan berisi nasi lemak hanya dipandang sepi oleh Pak Osman tetapi dilahap laju oleh Aziz. Perjalanan selama 5 jam membuat Aziz kelaparan. “ Aziz ni pakcik ada surat dari mak abah kau” tangan dihulur disambut laju oleh Aziz. Surat itu disimpan kemas dalam poket baju kemejanya.


       Aziz memulakan perbualan “ Pak Osman tahu ke kenapa mak abah hantar Aziz ke sekolah ni? Abang Shid dan kakak kakak lain boleh je sekolah dekat kampung?.” Redup mata Aziz menuturkan luahan hati kecilnya. Aziz asyik memikirkan yang mak abah merasakan yang dirinya beban keluarga. Memiliki adik beradik seramai lapan orang ditambah keadaan ekonomi yang kurang stabil membuatkan keluarganya banyak melapik perut daripada mengisi perut. Perlahan Pak Osman beralih tempat ke sebelah Aziz sambil memegang erat bahu kecil anak saudaranya itu. “ Apa pun yang kau fikir Aziz , kau jangan salah faham dekat mak abah kau, Pak Osman boleh janji dengan kau yang mak abah kau nakkan kehidupan yang lebih baik untuk kau.”

       Termenung sendirian Aziz atas katil,bermonolog Aziz “Pak Osman pun dah balik, tinggal aku seorang, tak mengapa Aziz kalau malam malam pun aku boleh pergi ladang abah seorang, setakat Kuala Lumpur ni apa sangat. Aziz kau mesti tunjuk kat yang lain tanpa mereka pun kau boleh hidup.” Kemudian Aziz teringat surat yang dikirim oleh mak abah melalui Pak Osman. Bergegas Aziz ke almari mencapai baju kemeja lusuh yang dipakai ketika pendaftaran pagi tadi. Surat dicapai, lantas Aziz menghenyak badan ke katil semula sambil membaca surat kiriman mak abahnya.Isi kandungan suratnya membuatkan air mata Aziz mengalir laju bak derasnya aliran Sungai Lui. Keadaan Aziz itu diperhatikan oleh sepasang mata tajam. 


Wednesday, March 9, 2016

Aziz #1 Hijrah si Kechik

1 ~ hijrah si kechik

       “Aziz bangun, bapak kau dah tunggu tu, siap lekas”  laung Mak Mah dari dapur. Ditemani udara kampung yang damai, pancaran cahaya matahari yang menyapa pagi dan haiwan haiwan yang berzikir dalam bahasa mereka memuji pemilik segala kekuatan. Termenung budak 12 tahun ke luar jendela kayu leka dan asyik  memerhati ibu kucing yang begitu kasih menjilat bulu anaknya. Tersentak mendengar panggilan ibunya lekas dia mengesat matanya yang berkaca kesedihan. Bermonolog Aziz sendiri , “kenapa mak hantar aku  jauh ke kl, abang abang yang lain tak pulak pergi jauh” . Mak Mah menyiapkan sarapan pagi untuk keluarganya sambil mengomel sendirian “harap Aziz fahamlah kenapa aku terpaksa hantar dia ke kl”. Turun aziz sambil membawa dua beg berisi pakaian dan kelengkapan hidup. Duduk Aziz sebelah kakak sulungnya yang kemas memakai pakaian seragam kerjanya. Senyum dia pada Aziz, dibalas cebikan masam, kehairanan kakaknya tidak memahami situasi dan kegalauan hati aziz.

        “Aziz kau dah siap kemas barang kau?” Tanya ayahnya yang sedang membaca akhbar melayu. “Dah bah, aziz dah siap dari semalam lagi, semua barang dah siap, katil aziz pon dah kemas  nanti adik mi boleh ambil”. Tenang ayahnya membaca rajuk dalam pertuturan anaknya yang keenam daripada lapan orang anaknya itu. Perlahan Aziz menyuap nasi goreng kegemarannya ,tiada selera dek bentak dalam hati yang tak mungkin terluah. “ Lagi 5 minit pak Osman kau sampai, makan lekas”. Selesai makan, duduk kesedihan Aziz di beranda kasih rumah tua yang menjadi tempat perteduhan mereka sekeluarga. “Takpe, aku anak lelaki kena kuat,setakat kl aku boleh tempuh” fikir si kecil dalam meredakan hati yang dalam proses menjadi batu bagi menempuh kehidupan yang penuh penipuan manusia. Perlahan ibunya menghampiri sambil menjinjit plastik berisi sedikit bekalan makanan sarapan tadi, “ Aziz , kau duduk sana nanti elok elok , mak terpaksa hantar kau kesana, orang felda semua hantar anak belajar kl , kata orang boleh jadi pandai”. Lantas  berpaling ibunya menahan empangan air mata keibuan daripada dilihat si anak kecil yang bertatih menuju alam berdikari sendiri. “Insyaallah mak”.

      Perjalanan pengembaraan kehidupan si kecil telah pun bermula. Dalam hati si kecil sibuk membina tembok daripada dicerobohi kesedihan perpisahan, dalam otak sibuk berfikir untuk terus berdiri di bumi lumpur kemegahan umat dan dalam tangan kedap memegang kunci pintu permulaan antara dua darjat. Tekad kuat si kecil dengan azam untuk berdiri sendiri tanpa hirauan manusia , tanpa pantauan keluarga , tanpa bantuan sesiapa ,yang  hanya mengharap pandangnya Pencipta yang MAHA ESA terhadap si kecil yang bermula ini. Permulaan kepada perubahan hidup seorang anak kecil.

Tuesday, March 8, 2016

Siapa haiwan sebenarnya?

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM...

Manusia merupakan makhluk yang dimuliakan oleh Allah dengan pelbagai kurniaan nikmat dan kelebihan. Jika dibandingkan dengan haiwan atau tumbuhan , kita sebagai manusia yang dikurniakan Akal perlu bersyukur dan memenuhi tanggungjawab kita sebagai khalifah dengan sebetulnya.

Tapi begitulah manusia , disamping dikurniakan akal dan beberapa kelebihan ,kita juga memiliki sifat sifat yang menyamakan kita dengan makhluk Allah iaitu haiwan. Betapa punahnya kehidupan bertamadun manusia sekarang apabila nilai kemanusiaan kita abaikan. Hinanya kita sebagai manusia mendabik dada mengaku sebagai makhluk terhebat tetapi realitinya kita yang memusnahkan dan membawa kerosakan kepada makhluk Tuhan yang lain.

Jika kita lihat realiti hari ini, bagaimana manusia semakin mengambil alih tugas binatang dalam kehidupan sosial. Sifat tamak,rakus,kejam dan pentingkan diri sendiri semakin menjadi drama kehidupan seharian. Sebagai contoh kita dapat lihat, bagaimana kawan sanggup menipu kawan demi secuit nikmat dunia yang mana kalau haiwan pun berkongsi hasil makanan bersama. Tambahan lagi , manusia yang kini semakin pentingkan diri, biar aku sahaja yang senang, biar nama aku seorang yang didendang, biar peribadi aku seorang yang dicanang. Sedangkan haiwan saling melengkapi dalam ekosistem mereka tersendiri.

Betapa gilanya manusia, yang tinggi memandang hina yang rendah. Yang rendah bersangka buruk dan berdengki dengan yang tinggi. Ironinya amalan kita tidak seindah percakapan kita. Katakan apa sahaja kata kata manis atau nasihat, manusialh juaranya akan tetapi tiba kepada pengamalan kita gagal. Kita yang dikurniakan segala kelebihan lupa akan tujuan asal sebagai manusia.

Kita lihat macam mana manusia melayan haiwan. Demi menonjolkan imej yang baik, terhegeh hegeh manusia mencari kamera bagi menjadi bukti bahawa kitalah yang paling sayang kepada haiwan. Ironinya,apabila haiwan datang memohon simpati agar diberi sedikit makanan atau perlindungan, kita halau malah sanggup menyeksa mereka. Gamaknya haiwan pun perlu belajar ilmu hebahan agar manusia takut kepada mereka. Manusia sekarang lebih takut diviral atau dihebahkan keburukan mereka berbanding cuai dalam tanggungjawab.

Bukanlah semua manusia sebegitu, cuma sebilangan yang melakukannya.
Jadi, siapa haiwan sebenarnya?


(idea tolong datang please!!!! , saya belanja brosted nak?)....


Wednesday, March 2, 2016

A.J.A.L

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..


Ajal merupakan Makhluk Allah yang pasti,akan tetapi waktu dan keadaannya masih misteri. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai maut. Pernahkah kita terfikir kenapa manusia begitu suka dan bergembira ketika saat kelahiran akan tetapi duka dan bersedih ketika saat kematian. Padahal kedua duanya adalah ujian Tuhan kepada kita baik kelahiran mahupun kematian. Ini membuktikan satu lagi makhluk Tuhan yang mengambil peranan dalam menentukan perjalanan ini iaitu PERASAAN. Begitu luasnya sifat Maha Adil Tuhan yang tidak memberikan setiap kesedihan dalam ujian dan setiap kegembiraan dalam ujian kehidupan. Kita yang seringkali leka, apabila gembira katanya nikmat sehingga lupa bahawa ini juga ujian. Apabila sedih katanya bala sehingga menyalahkan takdir Tuhan semata. Begitulah lemahnya manusia.

Baru baru ini , saya dikejutkan dengan berita pemergian seorang guru di sekolah menengah saya. Tidak dinafikan , kesedihan melanda bumi barakah hisamuddin. Betapa pilunya hati kami kerana telah kehilangan dua insan yang amat bermakna dalam hidup kami. Moga Allah merahmati roh mereka dan menempatkan mereka dalam golongan mereka yang mendapat rahmatNya.

                                                                            *****

Sampai sahaja di rumah selepas tamat kuliah , saya membuka wifi handphone , dan ratusan mesej whatapps daripada belasan grup dan individu menerjah masuk. Banyak yang mengarut. Pertama sekali , saya buka whatapps keluarga, dan mendapat berita pemergian seorang guru di sekolah menengah saya dan adik adik saya. Saya terus menelefon umi bagi bertanyakan lebih lanjut. Group sekolah hisamuddin Jordan juga telah mulai dengan ucapan takziah dan innalillah, aku yang lambat kerana ketiadaan internet di  luar rumah.

Dada sebak, airmata bergenang. Umi saya juga seorang guru di sebuah sekolah berhampiran. Justeru, semasa saya berada di tingkatan tiga saya mencari watak guru yang benar benar mirip perwatakan umi di sekolah. Kemudiaan ketemu saya dengan guru ini. Pertama anak anaknya bersekolah di sekolah rendah islam hira , persamaan pertama lulus. Keduanya, dari sudut pemakaian dan gaya sama. Seterusnya, kegarangan beliau juga boleh saya katakan sama dengan umi di sekolah merujuk kepada anak anak murid umi. Check. So, saya jumpa dengan guru yang sama dengan umi. Ini membuatkan saya begitu sedih.

                                                                        *****

Begitu juga ada beberapa kawan yang sebaya telah pergi meninggalkan kami bagi menghadap Ilahi. Ungkapan ajal itu tidak mengenal siapa dan tidak mengenal masa mudah untuk disembang, disyarah dan dinasihat. Hakikatnya realiti berdepan dengan kehilangan itu sendiri sukar untuk diterima. Itulah hakikat manusia yang lemah. Bagaimana kita begitu gah membaca dan menghafal ayat setiap yang bernyawa pasti akan mati tetapi mentadabbur atau beramal dengan ayat ini begitu kurang.


Manusia memang lemah, tetapi ingat jika kita bergantung dengan yang Maha Kuat maka kita akan dibantu untuk berdiri semula.

Jadi paling tidak kita hargailah setiap yang bernyawa disekeliling kita. Tidak kira manusia, haiwan, tumbuhan dan segala makhluk yang lain.

Walaupun kita berbeza jangan ketepikan persamaan kita yang kita akan berdepan AJAL.


#Blogkutuli..