Total Pageviews

Saturday, July 2, 2016

Nikmat yang ditunda. #EdisiRaya

BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM..

Apabila kita sebut pasal raya pasti akan terlintas dalam kepala mengenai Hari Raya Aidilfitri berbanding Hari Raya Aidiladha. Kebanyakan masyarakat kita sebegitu. Ini kerana suasananya yang berbeza.

Aidilfitri menjadi satu perayaan yang mana lazimnya, keluarga besar akan berkumpul dan menyambutnya bersama. Yang jauh , yang dekat akan berkumpul dan merayakan Aidilfitri dengan pelbagai ragam.

Kaum ibu mungkin sibuk memasak juadah pagi raya, kaum bapa mengemas dan menyediakan rumah untuk diziarahi oleh sanak saudara jauh dan jiran terdekat dan tidak dilupakan juga kaum anak yang sibuk bermain sesama sendiri, berkongsi cerita, mencipta kenangan dan menghidupkan suasana riuh malam raya.

Malam raya bagi masyarakat Malaysia merupakan malam yang menjanjikan malam yang riuh dan hidup. Keluarga besar yang berkumpul akan melupakan hal pekerjaan dan perkara peribadi bagi menghidupkan suasana tersebut. Ironinya kini teknologi cuba merampas kebahagiaan ini. Alam maya kini lebih digemari berbanding alam nyata. Bukan ini isu utama saya cuba untuk tekankan dalam penulisan kali ini. Aku amat benci keadaan yang ini.

Memasak dan merewang bersama menjadi acara wajib ahli keluarga. Menyiapkan ketupat, membakar lemang dan memasak lauk pauk yang pelbagai. Masyarakat melayu memang juara dalam bab masakan yang pelbagai. Perkara ini yang menjadi nikmat yang dirindukan oleh para perantauan. Lebih lebih lagi yang bersendirian.


Iklan iklan raya yang disaji dan drama drama berkisar tentang Aidilfitri  juga menjadi salah satu antara perkara wajib yang akan menjadi tontonan masyarakat awam. Syahdu, sedih, berseorangan, gembira, riang ria dan ikatan kekeluargaan antara emosi dan sentimen yang akan dimanipulasikan dan dimainkan oleh para pengarah. Berjaya atau berkesan itu cerita kedua.

Perkara ini amat memainkan peranan dalam menghidupkan suasana raya itu sendiri.

Sambutan raya itu sendiri luas dan terbuka kepada individu untuk menafsirkannya dan menzahirkan dalam bentuk perbuatan. Ada yang sanggup berkorban demi bersama yang tersayang, ada yang menyambut ala kadar bersama keluarga kecil, ada yang mencari peluang baru untuk memadam dendam dan perbalahan lama dan ada yang terpaksa berkorban berjauhan demi impian dan tanggungjawab.

Ini semua membuatkan Aidilfitri itu sendiri memiliki seribu satu makna terhadap cara perlaksanaan dan sambutan yang berbeza.

Ini membuatkan Aidilfitri itu sendiri menjadi unik berbanding perayaan yang lain.

Sebelum mengundurkan diri,
Disamping kita bergembira menyambut Aidilfitri, jangan dilupakan juga Ramadhan yang telah berlalu agar kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur.

Allah memberikan nikmat Aidilfitri untuk dinikmati. Sambutlah dan nikmatilah dengan penuh rasa syukur kepada nikmat ini tidak kira apa jua keadaan kita.



#020716
#secondincommand
#ramadhanmemory

mood raya tahun ni macam dalam gambar..hehehehe

No comments:

Post a Comment